RUMAH HAJI SU, LOSONG, TERENGGANU
Haji
Su merupakan jutawan Melayu Terengganu yang tersohor pada zaman dahulu. Nama
penuh Haji Su ialah Su Mohammed Salleh Mohammed. Beliau yang lebih mesra dengan
panggilan Haji Su di kalangan masyarakat tempatan, cukup terkenal di Terengganu
pada era 1800-an. Ketokohan Haji Su terserlah hinggakan namanya terpahat pada
nama Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu.
Allahyarham Haji Su Mohammed Salleh
bin Haji Mohammed atau lebih dikenali dengan nama Haji Su merupakan seorang
saudagar kaya yang telah mewarisi banyak harta pusaka tinggalan ayahandanya,
Haji Mohammed bin Abdul Rahman atau lebih tersohor dengan gelaran Haji Mohammed
Kaya.
Haji Su juga terkenal sebagai
seorang yang amat mahir dalam bidang pentadbiran dan juga bidang perniagaan.
Beliau telah meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh ayahandanya dalam
bidang perniagaan. Dalam menjalankan urusan perniagaan, beliau juga sering
berulang alik dari Terengganu menuju ke Thailand (Siam), Singapura dan juga
Indonesia. Selain menjalankan aktiviti perdagangan entrepot, beliau juga
memiliki syarikat perkapalan dan memiliki beberapa buah kapal untuk urusan
pengangkutan penumpang dan juga kapal untuk urusan pengangkutan barang
dagangan. Salah sebuah kapal beliau yang sering berulang alik dari Terengganu
ke Singapura ialah MV Menganti Baru.
Selain daripada terlibat dalam
industri perkapalan, Haji Su juga mengusahakan aktiviti perlombongan bijih
timah di beberapa kawasan di negeri Terengganu. Selain itu, beliau juga ada
membuka tanah pertanian secara komersial terutama dalam aktiviti penanaman
padi. Dalam aktiviti kesenian, Haji Su dikatakan amat meminati kesenian Dikir
Rebana Pahang yang dibawa dari Pahang melalui daerah Kemaman oleh para ulamak
yang tinggal di Terengganu. Oleh kerana memiliki kemahiran yang amat luar biasa
dalam mengalunkan lagu-lagu dikir ini, beliau telah diberi kepercayaan untuk
memimpin kumpulan Dikir Pahang ini. Kumpulan dikir beliau sentiasa mendapat
jemputan untuk mengadakan persembahan di segenap pelusuk negeri Terengganu. Beliau
juga amat berminat dalam aktiviti seni mempertahankan diri iaitu seni silat.
Beliau sering menggunakan kawasan halaman rumahnya yang luas untuk mengajar
anak-anak muda tentang taktik serta teknik seni silat Melayu yang masyhur pada
ketika itu.
Haji Su juga banyak melibatkan diri
dalam bidang kebajikan terutama dalam menyediakan prasarana seperti kemudahan
jalanraya bagi memudahkan pergerakan penduduk terutamanya di sekitar Kampung
Losong. Beliau juga banyak menghulurkan sumbangan terutama dalam bentuk kewangan
kepada golongan miskin dan daif bagi meneruskan kelangsungan hidup. Sehubungan
itu, sebagai mengenang jasanya yang amat besar itu, maka satu kesepakatan telah
dibuat untuk mengabadikan namanya pada salah sebuah kampung di Losong, iaitu
Kampung Losong Haji Su. Nama ini kekal hingga ke hari ini.
Melalui perkongsian hidup dengan dua
orang isteri, Haji Su telah dikurniakan sepuluh orang cahaya mata. Haji Su
meninggal dunia pada Januari 1951 dan jasadnya disemadikan di tanah perkuburan
Masjid Hiliran atau dikenali juga dengan nama Masjid Haji Mohamed Kaya.
Rajah 1.5 Salasilah Keluarga Haji
Su
Rumah
agam berkayu cengal ini pernah didiami semua anak Haji Su sehinggalah anak
bongsunya meninggal dunia pada tahun 2008 dan rumah itu tidak berpenghuni serta
terbiar begitu sahaja. Keseluruhannya, rumah ini diperbuat daripada kayu cengal
dan mempunyai 70 tingkap serta 12 pintu besar yang diukir indah oleh adiguru
ukir tempatan. Keseleruhan rumah dihias indah dengan seni ukir menarik dengan
pelbagai motif yang sesuai dengan kehidupan istana pada zaman silam.
Rumah
agam ini yang beralamat Lot 7181, 21000 Kuala Terengganu telah berusia 162
tahun dan berdiri di atas tapak tanah seluas 0.4851 hektar. Berdasarkan
beberapa catatan dan riwayat sohih, rumah agam ini mula dibina pada tahun 1840
dan siap pada tahun 1850 oleh sekumpulan tukang Melayu yang sangat hebat
sehinggakan tiang di dalam rumah itu tidak kelihatan. Tiang-tiang rumah
dikatakan disembunyikan di sebalik dinding.
Binaan
rumah ini yang bercirikan rekaan rumah Limas Potong Belanda dan Bujang Berpeleh
Kembar Tiga menjadi ciri utama rekaan rumah Melayu negeri ini. Terdapat juga
penerapan seni bina dari negara luar kerana Haji Su merupakan seorang pedagang
yang belayar di seluruh Asia serta memperoleh ilham untuk diterapkan dalam seni
bina kedimannya. Sebagai contoh, ukiran di dinding bahagian atas rumah ini
menyamai ukiran istana dan kota lama di Jaipur, India.
Rumah kepunyaan Allahyarham Su Mohammed Salleh Mohammed yang dibina
pada 1850 bercirikan reka bentuk rumah Limas Belanda dan rumah Bujang Berpeleh
Kembar Tiga yang berkait rapat dengan identiti negeri Terengganu. Dua
buah rumah yang ditinggalkan ini merupakan rumah pasang siap dan dipercayai
mampu dibina oleh hanya seorang tukang kayu dengan mengambil kira kesesuaian
alam persekitaran dan kehidupan masyarakat Melayu serta agama Islam. Rumah
warisan ‘Haji Su’ bercirikan keunikan seni bina dan ketukangan masyarakat
Melayu tradisional negeri dan dipulihara oleh kerajaan negeri. Pemuliharaan
rumah ini dilakukan bagi mengekalkan ilmu tentang seni bina Melayu, yang
melambangkan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan
corak budaya.
"Apa yang pernah menjadi lambang kebanggaan dalam kehidupan
silam bangsa dan kini hampir lenyap perlu terus dipertahankan untuk diwarisi,”
(Mohd Yusof Abdullah, 2016).
Berikut merupakan antara gambar rumah tradisional Haji Su yang diambil sendiri oleh saya semasa menjalankan penyelidikan :
*Kebanyakan maklumat diperoleh daripada artikel yang terdapat di dalam rumah ini, akhbar online serta kajian lepas.
*Penulisan ini adalah hasil kajian literatur disertasi yang dijalankan oleh saya.
No comments:
Post a Comment